Thursday, April 9, 2009

Kenyataan Media DSAI kemenangan di 2 Bukit - Malaysiakini

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–
8 April 2009
Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan pilihan raya kecil pada 7hb April 2009.
Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan.
Tahniah saya ucapkan kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.
Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut Perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama. Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan Perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.
Kemenangan Dato’ Seri Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.
Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa Perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak.
Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan. Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa Perubahan, bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air.
Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan
menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan. Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Pakatan Rakyat tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.
ANWAR IBRAHIM

Thursday, April 2, 2009

Kedudukan 2 calon bebas bekas ahli KeADILan - Malaysiakini



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Apr (Hrkh) - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Syed Husin Ali menjelaskan kedudukan dua calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya Bukit Selambau yang sebelum ini dikaitkan dengan parti itu.


Katanya calon bebas Md Radzi Md Lazim pernah memimpin bahagian KeADILan Baling namun setahun dahulu, beliau dipecat dari berikutan kenyataannya dalam media memburukkan parti dan mengisytiharkan dirinya keluar parti.

"Beliau kemudian cuba memohon menjadi ahli baru, akan tetapi permohonannya ditolak. Jelas beliau bukan ahli KeADILan" kata Dr Syed dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mengenai A. Jayagopal katanya yang pernah mengetuai bahagian pokok sena, beliau telah digantung sejak tahun lalu oleh kerana beberapa kes berkaitan dengannya yang sedang disiasat oleh Lembaga Displin Parti.

"Sekarang, disebabkan beliau bertanding melawan calon rasmi KeADILan, maka, sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Parti tahun ini, keahliannya dalam parti dengan sendirinya ditamatkan.

"Jadi sekarang beliau tidak ada kaitan dengan KeADILan" katanya. - azm


--
Ahakksss......

http://bloghijat.blogspot.com/

Wednesday, April 1, 2009

Suara keamanan ganti suara keadilan - Malaysiakini


KeADILan mengambil strategi serupa PAS bagi menghadapi tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit akhbar mereka dengan menerbitkan Suara Keamanan mulai hari ini.

PAS merancang menerbitkan Hujah mulai Jumaat ini bagi menggantikan Harakah yang dikenakan tindakan mengejut itu selama tiga bulan sejak 23 Mac lalu.

Pengganti Suara Keadilan itu sudah boleh diperolehi melalui pengedar-pengedar organ PKR itu, kata satu kenyataan jabatan sidang pengarangnya.

"Disebabkan permit penerbitan Suara Keadilan telah digantung selama tiga bulan bermula 23 Mac lepas, PKR mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan akhbar itu selama tempoh tersebut," kata parti itu

"Suara Keamanan adalah sebuah penerbitan tidak berkala dari segi namanya, oleh itu tidak memerlukan permit penerbitan dari KDN."

Tindakan menerbitkan akhbar baru ini membayangkan PKR mengendurkan pendiriannya minggu lalu yang menegaskan ingin mengabaikan larangan KDN tersebut.

Edisi pertama mingguan ini melaporkan tiga pilihanraya kecil - dua daripadanya disertai PKR - yang bermula Ahad lalu dengan tajuk besar "Kubur BN".

Ia memuatkan foto muka depan calonnya di DUN Bukit Selambau, S Manikumar dan DUN Batang Ai, Jawah Gerang.

Ia juga menyiarkan foto-foto penamaan calon di Bukit Gantang yang ditanding oleh calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.



KUALA LUMPUR, 31 MAC - KERANA permit penerbitan Suara Keadilan telah digantung selama tiga bulan bermula 23 Mac lepas, parti KeADILan mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan akhbar itu selama tempoh tersebut.

Sebagai ganti, akhbar Suara Keamanan akan menemui pembaca, secara mingguan setiap hari Selasa mulai hari ini.

Suara Keamanan adalah sebuah penerbitan tidak berkala dari segi namanya, oleh itu tidak memerlukan permit penerbitan dari KDN.

Pembaca boleh mendapatkan akhbar tersebut dari pengedar-pengedar dan penjual yang sama yang mengedar Suara Keadilan sebelum ini.
Keadilan